6) WAU - IDENTITI BANGSA


 WARISAN IDENTITI BANGSA


Bahagian Warisan Tidak Ketara adalah suatu bidang Warisan yang menjadi keutamaan yang merangkumi sesuatu Warisan yang ‘bukan benda’ untuk dinikmati oleh pancaindera manusia. Tegasnya, Warisan Tidak Ketara bermakna sesuatu perbuatan atau gerak geri manusia yang boleh dilihat, disentuh, dirasa, dihidu, atau di dengari ketika ia di lakukan atau wujud, tetapi tidak lagi dapat dinikmati apabila ia tiada atau tamat.
Akta Warisan Kebangsaan 2005, menafsirkan bahawa Warisan Tidak Ketara adalah termasuk mana-mana bentuk ungkapan, bahasa, sebutan lidah, pepatah, lagu yang di hasilkan melalui muzik, not, lirik, boleh didengar, nyanyian, lagu rakyat, tradisi lisan, puisi, tarian, lakonan sebagaimana yang di hasilkan melalui seni pentas, persembahan teater, pengubahan bunyi dan muzik, seni mempertahankan diri, yang telah wujud atau wujud berhubung dengan Warisan Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia atau berhubung dengan Warisan masyarakat Malaysia.
Malaysia kaya dengan warisan kebudayaan yang sangat unik dan menarik. Warisan dalam budaya merangkumi makanan, adat dan permainan tradisi yang terhasil dari asimilasi pelbagai kaum masyarakat Malaysia. Permainan tradisi secara amnya terdiri daripada permainan anjung dan permainan laman. Permainan anjung termasuklah batu seremban, congkak, tutup botol, dam aji dan lain-lain. Manakala permainan laman pula seperti galah panjang, ketinting, gasing, baling selipar, konda kondi, rebut negeri dan lain-lain.
            Kebanyakan permainan dimainkan secara berkumpulan, ini mewujudkan interaksi sosial serta merapatkan hubungan di antara ahli masyarakat. Pada suatu masa dahulu aktiviti permainan merupakan suatu aktiviti senggang yang dijalankan dengan meriah seakan-akan pesta keramaian. Penduduk kampung tanpa mengira usia akan turun beramai-ramai sama ada untuk menyertai pertandingan atau sebagai penyokong dalam suasana pertandingan yang sihat. Permainan-permainan dahulu juga kebanyakannya banyak memberi manfaat kepada individu dan masyarakat. Selain membina kemahiran sosial, juga memberi faedah fizikal dan mental yang akan merangsang seseorang berfikir dan membantu mempertingkatkan kemahiran dan sentiasa fokus dalam sesuatu tugas.
            Pada era gajet dan teknologi hari ini, permainan tradisional yang dikenali sebagai sukan rakyat semakin kurang mendapat perhatian di kalangan masyarakat. Generasi baru hari ini tidak dapat menikmati keseronokan berlari-lari dipadang yang luas dan mengeluarkan peluh. Kekangan ruang permainan mahupun kebimbangan terhadap jenayah sosial menyebabkan kanak-kanak kini tidak bebas untuk bermain seperti generasi sebelum ini.
Wau tradisi Malaysia, merupakan Permainan Tradisional yang telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009. Wau adalah satu permainan masa lapang rakyat yang mempunyai ciri-ciri keseniannya tersendiri. Bagi masyarakat nelayan pula wau dimainkan sebagai persediaan ke laut, untuk mengetahui sama ada cuaca baik atau tidak. Hal yang sama dilakukan oleh para petani untuk membuat persediaan menghadapi musim bendang seterusnya.
Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.
SEJARAH DAN MITOS WAU 
Mengikut sejarah Melayu, wau bermula di Melaka oleh Putera Raja keturunan Sultan Melaka. Terdapat tiga jenis wau yang terkenal iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi. Wau diperbuat daripada buluh yang diraut untuk dijadikan rangka, tulang belakang, sayap dan ekor wau. Kertas warna pula ditampal pada rangka wau untuk menentukan kecantikannya. Kertas warna boleh dilukis motif-motif dengan warna pilihan yang sesuai. Ketiga-tiga wau ini mempunyai estetika jenis sobekan yang bermotifkan sulur bayur, awan larat, pucuk rebung, geometri, flora fauna dan sebagainya.
Perkataan Wau dikatakan berasal daripada perkataan kerajaan Melayu Pattani memandangkan negeri seperti KelantanTerengganuPerlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut. Manakala perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia seperti SelangorMelaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja. Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi Wau secara berirama.
Mengikut satu cerita, wau itu pada awalnya ialah permainan tanpa nama. Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat daripada daun tertentu yang diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat-urat daun nanas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Suatu waktu, permainan tanpa nama itu putus talinya, dan anak itu pun menangis maka, menurut yang empunya cerita, lahirlah perkataan Wau.
Mengikut mitos, ia bermula apabila Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang tembuni Dewa Muda ke laut. Maka Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan merasa tidak selesa duduk di kayangan, lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang dinamakan Awang si Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan “rangka” Wau untuk Dewa Muda.
Untuk menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Apabila Wau ini dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam. Daripada bunyi busur itulah wujudnya nama Wau. Mengikut asal usul ini juga, wau yang tidak ada busur atau busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam dipanggil layang-layang.
Asal usul yang lain pula, wau wujud daripada semangat padi. Pada satu hari, seorang petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan seorang anak perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap hari membawakan minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di tempat dia bermain di rumah padi, yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu di hati isteri. Anak perempuan itu dipukul oleh si isteri lantas melarikan diri dari rumah petani tersebut menghala angin barat.
Berikutan dengan kejadian itu, padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang penyakit. Mengikut nujum, anak perempuan yang dihalau tadi ialah semangat padi. Untuk memohon ampun, petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan sekarang ini dan dinaikkan setelah menuai.
Asal usul Wau Bulan pula, lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar Srivijaya oleh Dewa Muda. Setelah kemangkatan pembina Empayar Srivijaya iaitu Sri Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar yang meliputi seluruh Asia Tenggara ini mulai berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu Medang Bhumi.
Di awal abad ke-8 muncul seorang tokoh, iaitu cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha. Beliau mempunyai pelbagai gelaran, antaranya Sabjaya atau Sanjaya Putera, Inu Dewa, Seri Panji, Mahisa Kelana Seri Panji, Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya dan Hyang Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda. Dewa Muda telah mengadakan beberapa serangan untuk menyatukan kembali Empayar Srivijaya.
Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau lembaga wau bulan yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya atau Asia Tenggara itu.Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai Sejagat Tanah Jawa.
Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut Nabi Mahlail Alaihissalam antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama Mahalelselt. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar Burung Petala Indera. Oleh itu, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.
Dikisahkan bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja-Laos-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara dua belas ragam bererti dua belas suku terdapat di dua belas daerah atau negeri tersebut tadi.
Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai negara pusat atau kawasan pusat pemerintahan yang dinamakan Nusa Kencana (Kawasan Emas) dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan Nusantara (Kawasan yang dirantai oleh laut).
Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat.
Wau juga dinyatakan berasal dari Kembayat Negara di zaman Siti Zubaidah dan wau ini bernama Wau Lenggang Kembayat. Wau inilah yang dinaikkan oleh Pembina Empayar Srivijaya iaitu Dewa Muda. Bentuknya tidaklah seperti Wau Bulan seperti yang dinyatakan dalam mitos di atas. Wau Lenggang Kembayat ini bentukya seperti Wau Ikan yang wujudnya sekarang ini. Banyak lagi terdapat asal usul wau, tetapi hampir semuanya menyerupai asal usul yang telah dicatat.
au - Permainan wau merupakan salah satu permainan tradisional di Kelantan. Pada zaman dahulu, penduduk negeri Kelantan menjadikan permainan wau sebagai salah satu permainan tradisional semasa lapang. Layang-layang atau wau ini akan melayang-layang di udara setelah ia dinaikkan. Permainan ini biasanya dimainkan selepas musim menuai, iaitu setelah petani-petani mempunyai masa yang terluang untuk mencipta dan menghias wau mereka. Terdapat banyak jenis wau seperti "wau kucing", "wau merak", "wau bulan" dan lain-lain lagi. Untuk mencipta wau, kemahiran yang tinggi serta kesabaran yang sepenuhnya diperlukan. Sepanjang perjalanan menuju ke Pantai Cahaya Bulan, terdapat banyak kedai yang mengeluarkan dan menjual wau rekaan sendiri.
Wau Bulan cukup dikenali di Malaysia. Wau ini merupakan layang-layang tradisional yang unik dan besar seperti saiz manusia, kebiasaannya berukuran 1.3 meter daripada kepala ke ekor. Kini, Wau Bulan telah mengelilingi serata dunia melalui Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kerana dipilih menjadi logo syarikat penerbangan tersebut. Wau Puyuh pula merupakan layang-layang rasmi Negeri Kelantan dan strukturnya hasil daripada prinsip wau melayu tradisi. Walau bagaimanapun, ianya mempunyai penambahan sayap yang seakan sama dengan sayap burung puyuh jika dilihat dari hadapan.
Setiap wau yang dihasilkan mempunyai temanya sendiri. Contohnya tema "Daun Timun Cina", "Daun Pokok Ulat Bulu" dan sebagainya. Harga anggaran bagi seunit wau perhiasan adalah RM700-RM1000 berdasarkan kepada ketelitian hasil pembuatan. Saiz biasa bagi Wau Bulan dan Wau Puyuh adalah 4 kaki. Sesebuah wau yang dihasilkan adalah menggunakan 7-10 kertas warna. Motif akan dilukis di atas kertas warna kemudian ditebuk menggunakan tangan dan pisau kecil.
Wau dihasilkan dengan menggunakan sama ada buluh betung atau buluh duri yang dijadikan sebagai rangka. Cara pembuatannya bermula dengan meraut buluh menggunakan pisau tajam untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Buluh ini akan digunakan sebagai rangka dalam penghasilan kedua-dua wau tersebut. Benang akan digunakan sebagai pengikat untuk penyambungan rangka buluh yang lain. Rangka buluh yang disiapkan akan ditampal dengan kertas sisa telur atau minyak dengan pelbagai warna dan akan dihiasi dengan pelbagai jenis corak. Pada bahagian kepala atau muncungnya iaitu di hujung kiri dan kanan akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna-warni. Busur akan diregangkan pada bahagian belakang tengkuk wau untuk mengeluarkan bunyi dengung apabila melayang di udara. Wau ini dipasang dengan tali teraju untuk dilayangkan, tali yang digunakan adalah tali tangsi atau tali nilon tertakluk kepada saiz wau tersebut. Berikut adalah kerangka Wau Puyuh yang merupakan ikon wau rasmi Negeri Kelantan.
Pelbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya jenis-jenis wau seperti Wau Barat, Wau Burung, Wau Dodo Helang, Wau Jala Budi,Wau Kangkang, Wau Kapal, Wau Katak, Wau Kemetek, Wau Kucing, Wau Payung, Wau Puyuh, Wau Seri Bulan, Wau seri Negeri, Wau Sewah dan yang sangat digemari dan popular oleh orang Melayu ialah Wau Bulan.
  WAU BARAT

 Wau daun atau juga dikenali sebagai wau barat atau wau pagi merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.
Wau daun menyerupai bentuk wau bulan tetapi adalah lebih lebar dan ringan. Wau daun turut memiliki corak-corak yang menarik, tetapi corak-corak tersebut adalah dilukis dan tidak menggunakan teknik sobek iaitu potong dan tampal, sebagaimana wau-wau yang lain. Ia juga satu-satunya wau tradisional yang tidak memiliki pedengung.
Oleh kerana corak-corak tersebut hanya dilukis pada badan wau, dan bukannya ditampal, ia mampu terbang tinggi walaupun semasa pada waktu angin bertiup dengan perlahan, seperti ketika pada waktu pagi. Oleh itu, ia juga dikenali sebagai wau pagi. Selain itu lukisan pada badan wau sering kali menggunakan teknik batik malah ia sering kali dilukis oleh pelukis batik, dan bukannya pembuat wau.
Selain itu, bentuk dan rupa wau daun adalah lebih dinamik dan cepat berubah, sering kali ia memaparkan reka bentuk asli dan unik yang mulai diterima pakai dalam pertandingan-pertandingan. Antara puncanya adalah corak-corak tersebut dilukis oleh ahli seni dalam bidang lain dan juga oleh kerana ia dilukis, adalah lebih mudah mencipta corak-corak baru berbanding teknik sobek potong dan tampal.
WAU BURUNG

 Wau burung merupakan jenis layang-layang yang popular di Malaysia. Ia merupakan kumpulan jenis wau yang mempunyai bentuk burung, dan terdapat dalam pelbagai jenis. Antara jenis wau yang mempunyai bentuk burung adalah seperti Wau Bayan, Wau Helang, Wau Kenyalang, Wau Merak, Wau Pungguk dan Wau Sewah.Pada kebiasaannya, Wau Burung akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau akan mengeluarkan bunyi yang nyaring. Sesetengah wau yang berdengung turut dimainkan pada waktu malam kerana dapat menghasilkan bunyi yang baik.
Kebanyakan jenis wau burung dihiasi dengan motif tumbuhan menjalar bagi bentuk tradisi, atau gambar burung yang menjadi nama jenis wau tersebut bagi jenis bentuk baru.
 WAU DODO HELANG

 Merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di TerengganuMalaysia. Wau dodo helang merupakan merupakan wau rasmi bagi negeri Kelantan dan wau ini tergolong dalam kategori wau burung. Ia mempunyai rupa yang sama dengan Wau Helang, kecuali hiasan pada dada layang-layang yang berbeza.
Pada kebiasaannya, Wau Dodo Helang akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau dodo helang adalah motif bunga dan kelarai yang menggunakan teknik sobek.
 WAU JALA BUDI

 Wau Jala Budi merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di negeri Kedah. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.
Wau Jala Budi dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai daun budi manakala perkataan jala pula wujud dari kerangka ekor Wau Jala Budi. Pada kebiasaannya, wau jala budi akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, Wau Jala Budi dikatakan akan mengeluarkan bunyi berdengung yang agak sederhana garau yang terbit dari busur yang terdapat di bahagian kepala. Wau Jala Budi ini juga dikatakan memiliki persamaan dengan layang-layang Chula yang berasal dari negara Thailand.
 WAU MERAK

 Wau ini merupakan yang popular dikalangan keturunan Bugis di Malaysia. Wau Merak dikenali sebagai Layang-Layang Kipas dan dipercayai berasal dari SulawesiIndonesia. Wau ini memiliki rekabentuk bercirikan burung Merak dan tidak terikat kepada saiz yang tertentu. Wau merak biasanya mempunyai ekor yang panjang yang membezakannya dengan Wau Helang. Wau Merak merupakan merupakan wau rasmi bagi negeri Johor.
Pada kebiasaannya, wau Merak akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau Merak dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti Merak. Keistimewaan Wau Merak ialah pada busurnya yang boleh memainkan tujuh jenis irama atau bunyi bunyian. Pada asalnya, ia dimainkan pada waktu malam kerana ia dapat menghasilkan bunyi yang baik. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada Wau Merak pula adalah motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.
 WAU KANGKANG

 Wau Kangkang merupakan wau yang popular di KelantanMalaysia. Wau ini merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Manakala di kedah wau ini dikenali segabai Wau puyuh dan merupakan wau rasmi bagi negeri Kedah. Wau Kangkang atau Wau Puyuh ini menyerupai bentuk Wau Jala Budi tetapi memiliki corak ekor yang mencapah.
 WAU KAPAL

 Wau kapal pula merupakan sejenis jenis wau yang popular di Selangor. Wau Kapal merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia dan Wau Kapal merupakan wau rasmi bagi negeri Selangor. Wau kapal menyerupai bentuk wau bulan tetapi ekornya memiliki corak yang berbentuk seperti kapal.
WAU SERI BULAN

 Wau Seri Bulan pula merupakan wau rasmi bagi negeri Perak. Wau ini mempunyai sedikit persamaan dengan Wau bulan yang dimainkan di Kelantan.
 WAU KUCING

Wau Kucing dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai seekor kucing yang sedang duduk dari sudut belakang, bermula dari bahagian kepala, badan dan seterusnya ekor kucing. Pada kebiasaannya, wau Kucing akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang.
Ketika diterbangkan ke udara, Busur wau Kucing dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti kucing. Ia dipercayai berfungsi untuk menakutkan roh jahat dan meramalkan keadaan cuaca pada keesokan harinya. Motif ukiran sobek yang digunakan pada wau ini ialah motif bunga dan tumbuh-tumbuhan dan cara hiasannya adalah sama seperti wau bulan.
WAU BULAN

 Wau bulan merupakan wau yang paling popular di Malaysia. Kepopularannya didominasi oleh rakyat pantai timur di Semenanjung Malaysia.
Bentuk jenis wau ini menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada bahagian ekornya. Justeru, wau tersebut kelihatan seperti bulan yang terbit di angkasa apabila diterbangkan.
Dari segi saiznya, wau bulan dibentuk dengan saiz yang lebih besar berbanding wau lain. Bidang biasa adalah sepanjang 2.5 meter dengan tinggi 3.5 meter. Ini untuk memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut kelihatan jelas dan menyerlah. Bagi menyerlahkan daya tarikan jenis wau ini, pemilihan warna yang terang dan corak yang lebih besar menjadi pilihan.


Comments